MENGALU-ALUKAN

Sunday 20 November 2011

Pengaruh selebriti beri kesan buruk kanak-kanak

LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa budaya yang terlalu mengagungkan selebriti meninggalkan kesan bahaya termasuk menghasilkan generasi muda yang percaya pendidikan dan kerja keras bukan lagi penentu kejayaan dalam hidup.
Tinjauan Persatuan Guru dan Pensyarah Britain mendapati lebih 70 peratus guru sekolah rendah dan menengah juga mendakwa budaya memuja selebriti khususnya kalangan artis dan ahli sukan sebagai idola sebaliknya menjadi halangan utama bagi kanak-kanak menyemai cita-cita murni dan mencapai kejayaan dengan cara yang betul.
Elizabeth Farrar, guru sekolah rendah di Scunthorpe, berkata terlalu ramai pelajar yang beranggapan kejayaan akademik bukan lagi satu keperluan kerana mampu meraih kejayaan dan kekayaan dengan hanya menjadi bintang program realiti televisyen.
Sebanyak 37 peratus guru percaya ramai anak murid mereka mahu menjadi terkenal kerana terpengaruh dengan takrifan salah kejayaan yang dipaparkan selebriti.
“Guru bimbang anak muda ini tidak dapat menyelami erti kejayaan sebenar dan susah payah yang perlu dilalui sebelum idola mereka itu mencapai kedudukan itu. Bagi mereka, kejayaan sebenar adalah dengan menjadi popular.
“Berikutan itu, apabila mereka dewasa, generasi itu akan mengasingkan diri, tersisih dan memiliki daya keyakinan diri yang amat rendah hanya kerana tidak popular atau gagal mencapai status selebriti seperti idola mereka,” kata Dr Mary Bousted, Setiausaha Agung persatuan.
“Tidak dinafikan ada selebriti yang mampu memberi inspirasi kepada pelajar. Tetapi apa yang lebih kita bimbangkan adalah ramai kanak-kanak ini percaya yang status selebriti itu mudah dan boleh dicapai sesiapa pun. “Mereka tidak lagi memikirkan kepentingan untuk belajar atau kerja keras yang menjadi asas kejayaan.”
Tinjauan itu juga mendapati bintang bola sepak, David Beckham dan isterinya, Victoria atau ‘Posh’ Spice, adalah selebriti yang paling berpengaruh kepada golongan muda.
Beckham yang kini bermain untuk sebuah kelab bola sepak Amerika Syarikat, berada di kedudukan teratas dengan purata 53 peratus sokongan oleh pelajar, manakala isterinya, di tempat kedua.
Secara keseluruhan, bintang sukan menjadi kelompok selebriti paling diminati, manakala penyanyi pop seperti Sugababes dan Leona Lewis, di tempat kedua.
Kegilaan pelajar terhadap idola mereka itu menimbulkan kebimbangan kepada guru yang khuatir kesan pengaruh selebriti itu kepada bentuk aspirasi kejayaan yang mahu diraih pelajar.

my mikro teaching